Friday, March 11, 2011

Cara untuk menulis jawapan rumusan SPM:

Soalan Contoh:
Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian buat satu rumusan tentang keistimewaan bioteknologi dan langkah-langkah untuk menggalakkan rakyat untuk menceburi bidang tersebut .Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan”

Jawapan Pengenalan:
(1) Petikan membincangkan keistimewaan bioteknologi di negara kita. [1M]
(2) Petikan ini tentang keistimewaan bioteknologi di negara kita dan langkah-langkah untuk menggalakkan rakyat untuk menceburi bidang tersebut. [0M]
(3) Petikan membincangkan kelebihan bioteknologi di negara kita. [2M]
(4) Petikan membincangkan manfaat bioteknologi di negara kita.[2M]
(5) Petikan membincangkan kebaikan bioteknologi di negara kita.[2M]

Jawapan Isi Tersurat:
Keistimewaan bioteknologi ialah petani dapat bercucuk tanam walaupun di kawasan tanah yang tidak subur. Selain itu, bioteknologi dapat membantu petani untuk mengatasi masalah serangga perosak. Seterusnya, bioteknologi dapat menghasilkan padi yang bermutu tinggi. Bioteknologi yang tidak menggunakan racun perosak pula dapat memelihara alam sekitar. Bioteknologi dalam bidang pertanian juga dapat mengatasi masalah rumpai. Bukan itu sahaja, bioteknologi dapat menghasilkan makanan yang berkhasiat dan bervitamin. Di samping itu, bioteknologi dapat menghasilkan insulin untuk pesakit diabetis. Akhir sekali, bioteknologi mampu merawat bahan-bahan buangan bertoksik yang berbahaya.

Jawapan Isi Tersurat:
Satu daripada langkah untuk menggalakkan rakyat menceburi bidang ini ialah pihak kerajaan hendaklah memperbanyak kursus Bioteknologi di universiti. Selain itu, kerajaan hendaklah memberikan anugerah kepada saintis negara yang menghasilkan dapatan bioteknologi yang terbaru.

Jawapan Kesimpulan:
Kesimpulannya, semua pihak hendaklah menyokong bidang bioteknologi supaya bidang ini dapat meningkatkan pembangunan negara.

Kesalahan Bahasa yang sering dilakukan:

Petikan menyatakan tentang kebaikan bioteknologi….[x]
Petikan menyatakan kebaikan bioteknologi….[/]

Salah satu daripada kebaikan bioteknologi..[x]
Salah satu kebaikan bioteknologi..[/]
Satu daripada kebaikan bioteknologi[/]
Satu daripada kebaikannya ialah…[/]

Antara kebaikan-kebaikan bioteknologi ialah…[x]
Antara kebaikan bioteknologi ialah…[/]
Antara kebaikannya ialah …[/]

Selain daripada itu,[x]
Selain itu, ….[/]

Sehubungan itu,[x]
Sehubungan dengan itu, [/]

Elkkan penggunaan perkataan `justeru', `tambahan pula', dan `manakala' dalam penulisan rumusan.Ketiga-tiga perkataan ini ialah kata hubung. Sebenarnya, banyak murid yang menggunakan kata hubung tersebut sebagai penanda wacana tidak tepat.

Penanda Wacana
Banyak pelajar yang gemar menggunakan perkataan `justeru’, `tambahan pula’ dan `sementelahan’ dalam jawapan rumusan SPM. Sebenarnya, perkataan tersebut ialah kata hubung.

Dalam bahasa Melayu, kata hubung sememangnya dapat digunakan sebagai penanda wacana jika penggunaannya tepat dari segi makna dan fungsi atau tujuan. Sila lihat jawapan contoh rumusan yang di bawah ini.

Petikan membincangkan faktor-faktor meningkatnya toksin di dalam tubuh manusia.

Puncanya ialah kebanyakan makanan yang dimakan mempunyai sifat semula jadi yang ber asid. Justeru, makanan akan menjadi toksik sebagai akibat cara makanan itu diproses dan ditambah pula dengan bahan-bahan tambahan untuk menjadikan makanan itu enak. Tambahan pula, cara pengendalian makanan yang tidak bersih dan pengendali makanan yang berpenyakit juga boleh menjadikan makanan bertoksin. Faktor lain yang menyebabkan keracunan berlaku ialah persekitaran yang kotor.

Masalah ini akan dapat diatasi sekiranya kita sentiasa memastikan makanan disimpan dengan baik dan amalan membasuh tangan dipraktikkan. Sementelahan, jenis makanan yang diambil juga perlu diberi perhatian agar tidak berlaku keracunan.

Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama untuk menangani kandunghan toksin di dalam badan supaya tahap kesihatan kita tidak terancam.

Ulasan:

Perkataan `justeru’ bermaksud malahan. Perkataan `tambahan pula’ dan `sementelahan’ bermaksud lebih-lebih lagi. Ayat yang tepat untuk ketiga-tiga perkataan tersebut adalah seperti yang berikut:

1. Saya tidak pernah memperkecil kebolehannya, justeru saya selalu menyokongnya dalam setiap perlawanan.
2. Pemain pasukan itu sangat lincah, tambahan pula tendangannya sering mengelirukan pihak lawan.
3. Kita hendaklah meneruskan serangan yang bertubi-tubi ke pintu gol lawan kerana pasukan kita telah ketinggalan, sementelahan masa permainan tinggal beberapa minit lagi.

Ada sesetengah pengguna bahasa menggunakan perkataan `justeru’ untuk maksud `oleh itu’. Namun demikian, pihak penyusun Kamus Dewan masih belum memberikan makna `justeru’ sebagai `oleh itu’. Oleh hal yang demikian, elakkanlah penggunaan perkataan tersebut sebagai penanda wacana.

Frasa `tambahan pula’ yang berfungsi sebagai kata hubung boleh digunakan sebagai penanda wacana dalam perenggan. Sila lihat contoh yang berikut:

`Pihak kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana remaja yang terlibat dalam aktviti perlumbaan motosikal haram. Tambahan pula, aktiviti ini semakin lama semakin leluasa jika aktiviti mereka dibiarkan. Melalui tindakan yang tegas, mereka akan berasa bimbang untuk mengulangi kesalahan tersebut kerana sekali kena dua kali jalan tahu. Sebagai contohnya, sesiapa yang terlibat dalam kegiatan tersebut, lesen memandu mereka hendaklah digantung selama setahun atau dikenakan penjara jika melibatkan kemalangan. Dengan cara ini, mereka akan meninggalkan kegiatan tersebut dan akan mematuhi undang-undang.

Frasa `tambahan pula’ juga tidak boleh digunakan di awal perenggan karangan sebagai penanda wacana. Hal ini dikatakan demikian kerana frasa tersebut berfungsi untuk memberikan penjelasan lanjut tentang maklumat atau ayat isi sebelumnya. Selain itu, isi yang diperkatakan dalam perenggan itu berbeza dengan isi dalam perenggan sebelumnya. Sebagai contohnya:

Tambahan pula, pihak kerajaan hendaklah mempergiat kempen keselamatan jalan raya sama ada di media massa atau di media cetak. Kempen seperti ini sudah tentu akan dapat menimbulkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya bahawa nyawa diri sendiri dan orang lain sangat berharga. Sebagai contohnya, pengguna perlu dipertontonkan kes-kes kemalangan negeri yang menyebabkan kematian dari masa ke masa menerusi televisyen. Melalui cara ini, mereka akan menyedari bahawa mereka perlu menyayangi nyawa diri sendiri dan nyawa orang lain.

Penanda wacana yang sesuai untuk perenggan di atas ialah `selain itu’, `di samping itu’, `bukan itu sahaja’, dan sebagainya.

Jawapan yang tepat:
Petikan membincangkan faktor-faktor meningkatnya toksin di dalam tubuh manusia.

Puncanya ialah kebanyakan makanan yang dimakan mempunyai sifat semula jadi yang ber asid. Selain itu, makanan akan menjadi toksik sebagai akibat cara makanan itu diproses dan ditambah pula dengan bahan-bahan tambahan untuk menjadikan makanan itu enak. Di samping itu, cara pengendalian makanan yang tidak bersih dan pengendali makanan yang berpenyakit juga boleh menjadikan makanan bertoksin. Faktor lain yang menyebabkan keracunan berlaku ialah persekitaran yang kotor.

Masalah ini akan dapat diatasi sekiranya kita sentiasa memastikan makanan disimpan dengan baik dan amalan membasuh tangan dipraktikkan. Selain itu, jenis makanan yang diambil juga perlu diberi perhatian agar tidak berlaku keracunan.

Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama untuk menangani kandunghan toksin di dalam badan supaya tahap kesihatan kita tidak terancam.

Monday, January 24, 2011

PUISI TRADISIONAL

Seloka Emak Si Randang

MAKSUD:-

* Emak Si Randang yang baik hati sanggup menanakkan nasi kepada orang dagang yang lalu di depan rumahnya. Kerana ketiadaan kayu api, dia telah merobohkan rumahnya untuk mendapatkan kayu api. Disebabkan nasi telah dijamu kepada orang lain, anak sendiri yang kelaparan. Hal ini diibaratkan seperti kera di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan. Apabila dagang itu pergi, dia kerugian ditambah pula kerana beras habis dan tanaman padi juga tidak menjadi.

TEMA:-

* Sindiran kepada orang yang suka bertindak tanpa berfikir baik buruknya.

PERSOALAN:-

1. Lebih mementing orang daripada diri sendiri.
2. Menghulurkan bantuan sehingga membebankan diri.
3. Bertindak tanpa menggunakan akal yang bijak.

Pengajaran:-

Pelbagai pengajaran yang dapat kita ambil daripada Seloka Emak Si Randang, antaranya:-

* Kita mestilah mengukur kemampuan diri sebelum membantu orang lain.
* Kita seharusnya berfikir dengan sebaik-baiknya sebelum memberikan bantuan kepada orang agar tidak akan menyusahkan diri sendiri dan keluarga.
* Kita sepatutnya berbuat baik kepada orang tetapi biarlah berpada-pada.
* Sebelum berfikir untuk membantu orang luar, kita mestilah dahulu membantu diri sendiri dan keluarga.

NILAI:-

1. Berfikiran rasional
2. Baik budi
3. Bijaksana dalam tindakan
4. Berhati-hati

GAYA BAHASA:-

1. Sinkope / singkof > Beras habis padi tak jadi.
2. Asonansi > Anak pulang kelaparan.
3. Aliterasi > Dagang pergi awak terhutang.
4. Anafora > Anak pulang kelaparan, Anak di pangku diletakkan.
5. Hiperbola > Tiada kayu rumah diruntuhkan.


Gurindam 12 Fasal yang Keenam

TEMA:-

* Nasihat untuk memilih sahabat, guru, isteri yang sebaiknya.

Rangkap


Maksud

Cahari olehmu akan sahabat,

Yang boleh dijadikan ubat.


Saranan agar mencari rakan yang baik dan boleh memberikan manfaat kepada kita.

Cahari olehmu akan guru,

Yang boleh tahukan setiap seteru.


Saranan agar mencari guru yang mahir tentang muslihat musuh.

Cahari olehmu akan isteri,

Yang boleh menyerahkan diri.


Saranan agar memilih isteri yang taat setia akan suami.

Cahari olehmu akan kawan,

Pilih segala orang setiawan.


Saranan agar memilih kawan yang tahu erti setia kawan.

Disalin daripada Blog Cikgu Azemi


Isi dan Persoalan

1. Kepentingan mencari kawan yang baik dan setia.

2. Guru yang bijak dapat mengajar muridnya menilai perkara yang baik dan buruk.

3. Seorang isteri yang baik selalunya taat kepada suami.


Pengajaran

1. Kita haruslah bijak mencari kawan yang sanggup berkongsi ketika susah dan senang.

2. Kita perlulah mencari guru yng dapat membimbing kita menilai perkara yang baik dan yang buruk.

. Kita hendaklah mencari isteri yang patuh dan taat kepada suami.


Gaya Bahasa

1. Kata klasik - contohnya cahari.

2. Kata kiasan - contohnya ubat.

3. Pengulangan frasa - contohnya cahari olehmu.

4. Asonansi - contohnya pengualngan vokal a - cahari olehmu akan sahabat.

5. Aliterasi - contohnya pengulangan konsonan b - Yang boleh dijadikan ubat.

Gelanggang Tuk Wali (Ismail Kassan)

Sinopsis

Drama ini mengisahkan Tuk Wali yang merupakan seorang guru silat di Kampung Teluk Penyabung. Tuk Wali mempunyai dua orang anak murid yang rapat dengan beliau bernama Ripin dan Mariam. Tuk Wali membuka gelanggang silat di hadapan rumahnya. Walaupun usianya telah meningkat, Tuk Wali masih gagah. Dia menerima jemputan untuk bersilat dalam majlis yang dianjurkan. Tuk Wali pandai mengurut, menjadi tuk mudim, menggali kubur, memandikan jenazah, dan sebagainya. Imam dan siak kurang menyenangi Tuk Wali. Mereka menganggap bahawa dalam usia begini, Tuk Wali perlulah menghabiskan masanya di masjid untuk beribadah dan bukannya berada di gelanggang silat. Tuk Wali ingin menyerahkan keris warisan kepada murid kesayangannya yang bernama Ripin. Ripin menolak penyerahan tersebut kerana berasa dia belum layak menerimanya. Suatu hari, semasa Tuk Wali sedang tidur, Piee telah mengambil biola dan keris pusaka miliknya. Tuk Wali tersedar dan berlakulah pergelutan yang berakhir dengan keris itu mengenai perut Tuk Wali. Piee melarikan diri bersama-sama biola. Ripin datang memberikan bantuan kepada Tuk Wali yang berlumuran darah. Tuk Wali sempat menyerahkan keris pusaka warisan kepada Ripin sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Siak dan imam datang. Mereka menuduh Ripin membunuh Tuk Wali kerana pada tangan Ripin terhunus keris perguruan. Masing-masing menuduh antara satu sama lain. Manakala Mak Umi pula menuduh siak yang menikam suaminya.

Tema

Keazaman seorang guru silat dalam mempertahan dan memperjuangkan nilai atau khazanah bangsa.

Persoalan

1. Perbezaan pandangan antara golongan tua. Tuk Wali merasakan dia masih layak untuk mengajar silat sementara imam dan siak menasihatinya supaya ke masjid.

2. Kekecewaan keran tidak lagi dihiraukan oleh masyarakat. Kehebatan Tuk Wali tidak lagi disanjung tinggi kerana dia sudah tua.

3. Sikap merendah diri dan menghormati guru. Ripin tidak sanggup mengambil alih tugas sebagai guru silat kerana masih menghormati gurunya yang masih ada dan berkemampuan mengajar.

4. Perasaan demdam yang membawa kepada permusuhan. Siak bertarung dengan Tuk Wali kerana cucunya ditampar , selain masih berdendam kerana isteri Tuk Wali, Mak Umi dahulunya adalah bekas tunangan beliau.

5. Penglibatan dengan dadah meyebabkan kehidupan musnah. Piee seorang yang handal bersilat tetapi akhirnya menjadi pencuri dan tergamak menikam Tuk Wali.

Saturday, August 28, 2010

ARAHAN TUGASAN

Kepada semua pelajar 4 Cemerlang:

Anda dikehendaki menyiapkan tugasan tatabahasa untuk minggu 25 - 3 September (sesi perbincangan akan dibuat pada 1 September 2010) dan tugasan minggu 6 - 17 September 2010 (sesi perbincangan akan dibuat pada 20 September 2010).

Jika menghadapi masalah untuk menjawab soalan-soalan berkenaan sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat atau Kamus Istilah atau buku Sistem Ejaan Melayu Baharu.

PERHATIAN :

Tarikh penghantaran tugasan KOMSAS anda ialah 2 September 2010. Jika menghadapi sebarang masalah sila berjumpa saya segera.

Sunday, November 15, 2009

SKEMA MARKAH SEMESTER 2 2009

Anda boleh memuat turun skema pemarkahan daripada alamat berikut :

http://groups.yahoo.com/group/cikguanda/files/

Tuesday, September 15, 2009

PERINGATAN TERAKHIR

ANDA SEMUA MUNGKIR JANJI...ANDA TIDAK MENYIAPKAN KERJA SEPERTI TARIKH YANG DIJANJIKAN.
OLEH ITU, SEBAGAI DENDA MARKAH TUGASAN SEMESTER 2 ANDA DITOLAK 3 MARKAH. UNTUK MENEBUSNYA KEMBALI SILA SEDIAKAN SATU TUGASAN BARU YANG BOLEH DI LIHAT DALAM RUANGAN BERIKUT :

http://groups.yahoo.com/group/cikguanda/files/


klik link di atas kemudian ambil atau muat turun file esei 2009 dbp (Tugasan 16 Sept - 2 Okt 2009)

STATUS TUGASAN : WAJIB

Thursday, September 3, 2009

PERINGATAN PENTING

Jangan berlengah dan bertangguh dalam melaksanakan kerja. Biar cepat asal selamat. Lakukan perbincangan dengan rakan-rakan agar hasil kerja anda benar-benar berkualiti.

Ingat kerja anda mesti dihantar kepada saya selewat-lewatnya sebelum atau pada 12 September 2009 menerusi emel saya wanbuananwanhussain@yahoo.com