Friday, March 11, 2011

Cara untuk menulis jawapan rumusan SPM:

Soalan Contoh:
Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian buat satu rumusan tentang keistimewaan bioteknologi dan langkah-langkah untuk menggalakkan rakyat untuk menceburi bidang tersebut .Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan”

Jawapan Pengenalan:
(1) Petikan membincangkan keistimewaan bioteknologi di negara kita. [1M]
(2) Petikan ini tentang keistimewaan bioteknologi di negara kita dan langkah-langkah untuk menggalakkan rakyat untuk menceburi bidang tersebut. [0M]
(3) Petikan membincangkan kelebihan bioteknologi di negara kita. [2M]
(4) Petikan membincangkan manfaat bioteknologi di negara kita.[2M]
(5) Petikan membincangkan kebaikan bioteknologi di negara kita.[2M]

Jawapan Isi Tersurat:
Keistimewaan bioteknologi ialah petani dapat bercucuk tanam walaupun di kawasan tanah yang tidak subur. Selain itu, bioteknologi dapat membantu petani untuk mengatasi masalah serangga perosak. Seterusnya, bioteknologi dapat menghasilkan padi yang bermutu tinggi. Bioteknologi yang tidak menggunakan racun perosak pula dapat memelihara alam sekitar. Bioteknologi dalam bidang pertanian juga dapat mengatasi masalah rumpai. Bukan itu sahaja, bioteknologi dapat menghasilkan makanan yang berkhasiat dan bervitamin. Di samping itu, bioteknologi dapat menghasilkan insulin untuk pesakit diabetis. Akhir sekali, bioteknologi mampu merawat bahan-bahan buangan bertoksik yang berbahaya.

Jawapan Isi Tersurat:
Satu daripada langkah untuk menggalakkan rakyat menceburi bidang ini ialah pihak kerajaan hendaklah memperbanyak kursus Bioteknologi di universiti. Selain itu, kerajaan hendaklah memberikan anugerah kepada saintis negara yang menghasilkan dapatan bioteknologi yang terbaru.

Jawapan Kesimpulan:
Kesimpulannya, semua pihak hendaklah menyokong bidang bioteknologi supaya bidang ini dapat meningkatkan pembangunan negara.

Kesalahan Bahasa yang sering dilakukan:

Petikan menyatakan tentang kebaikan bioteknologi….[x]
Petikan menyatakan kebaikan bioteknologi….[/]

Salah satu daripada kebaikan bioteknologi..[x]
Salah satu kebaikan bioteknologi..[/]
Satu daripada kebaikan bioteknologi[/]
Satu daripada kebaikannya ialah…[/]

Antara kebaikan-kebaikan bioteknologi ialah…[x]
Antara kebaikan bioteknologi ialah…[/]
Antara kebaikannya ialah …[/]

Selain daripada itu,[x]
Selain itu, ….[/]

Sehubungan itu,[x]
Sehubungan dengan itu, [/]

Elkkan penggunaan perkataan `justeru', `tambahan pula', dan `manakala' dalam penulisan rumusan.Ketiga-tiga perkataan ini ialah kata hubung. Sebenarnya, banyak murid yang menggunakan kata hubung tersebut sebagai penanda wacana tidak tepat.

Penanda Wacana
Banyak pelajar yang gemar menggunakan perkataan `justeru’, `tambahan pula’ dan `sementelahan’ dalam jawapan rumusan SPM. Sebenarnya, perkataan tersebut ialah kata hubung.

Dalam bahasa Melayu, kata hubung sememangnya dapat digunakan sebagai penanda wacana jika penggunaannya tepat dari segi makna dan fungsi atau tujuan. Sila lihat jawapan contoh rumusan yang di bawah ini.

Petikan membincangkan faktor-faktor meningkatnya toksin di dalam tubuh manusia.

Puncanya ialah kebanyakan makanan yang dimakan mempunyai sifat semula jadi yang ber asid. Justeru, makanan akan menjadi toksik sebagai akibat cara makanan itu diproses dan ditambah pula dengan bahan-bahan tambahan untuk menjadikan makanan itu enak. Tambahan pula, cara pengendalian makanan yang tidak bersih dan pengendali makanan yang berpenyakit juga boleh menjadikan makanan bertoksin. Faktor lain yang menyebabkan keracunan berlaku ialah persekitaran yang kotor.

Masalah ini akan dapat diatasi sekiranya kita sentiasa memastikan makanan disimpan dengan baik dan amalan membasuh tangan dipraktikkan. Sementelahan, jenis makanan yang diambil juga perlu diberi perhatian agar tidak berlaku keracunan.

Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama untuk menangani kandunghan toksin di dalam badan supaya tahap kesihatan kita tidak terancam.

Ulasan:

Perkataan `justeru’ bermaksud malahan. Perkataan `tambahan pula’ dan `sementelahan’ bermaksud lebih-lebih lagi. Ayat yang tepat untuk ketiga-tiga perkataan tersebut adalah seperti yang berikut:

1. Saya tidak pernah memperkecil kebolehannya, justeru saya selalu menyokongnya dalam setiap perlawanan.
2. Pemain pasukan itu sangat lincah, tambahan pula tendangannya sering mengelirukan pihak lawan.
3. Kita hendaklah meneruskan serangan yang bertubi-tubi ke pintu gol lawan kerana pasukan kita telah ketinggalan, sementelahan masa permainan tinggal beberapa minit lagi.

Ada sesetengah pengguna bahasa menggunakan perkataan `justeru’ untuk maksud `oleh itu’. Namun demikian, pihak penyusun Kamus Dewan masih belum memberikan makna `justeru’ sebagai `oleh itu’. Oleh hal yang demikian, elakkanlah penggunaan perkataan tersebut sebagai penanda wacana.

Frasa `tambahan pula’ yang berfungsi sebagai kata hubung boleh digunakan sebagai penanda wacana dalam perenggan. Sila lihat contoh yang berikut:

`Pihak kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana remaja yang terlibat dalam aktviti perlumbaan motosikal haram. Tambahan pula, aktiviti ini semakin lama semakin leluasa jika aktiviti mereka dibiarkan. Melalui tindakan yang tegas, mereka akan berasa bimbang untuk mengulangi kesalahan tersebut kerana sekali kena dua kali jalan tahu. Sebagai contohnya, sesiapa yang terlibat dalam kegiatan tersebut, lesen memandu mereka hendaklah digantung selama setahun atau dikenakan penjara jika melibatkan kemalangan. Dengan cara ini, mereka akan meninggalkan kegiatan tersebut dan akan mematuhi undang-undang.

Frasa `tambahan pula’ juga tidak boleh digunakan di awal perenggan karangan sebagai penanda wacana. Hal ini dikatakan demikian kerana frasa tersebut berfungsi untuk memberikan penjelasan lanjut tentang maklumat atau ayat isi sebelumnya. Selain itu, isi yang diperkatakan dalam perenggan itu berbeza dengan isi dalam perenggan sebelumnya. Sebagai contohnya:

Tambahan pula, pihak kerajaan hendaklah mempergiat kempen keselamatan jalan raya sama ada di media massa atau di media cetak. Kempen seperti ini sudah tentu akan dapat menimbulkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya bahawa nyawa diri sendiri dan orang lain sangat berharga. Sebagai contohnya, pengguna perlu dipertontonkan kes-kes kemalangan negeri yang menyebabkan kematian dari masa ke masa menerusi televisyen. Melalui cara ini, mereka akan menyedari bahawa mereka perlu menyayangi nyawa diri sendiri dan nyawa orang lain.

Penanda wacana yang sesuai untuk perenggan di atas ialah `selain itu’, `di samping itu’, `bukan itu sahaja’, dan sebagainya.

Jawapan yang tepat:
Petikan membincangkan faktor-faktor meningkatnya toksin di dalam tubuh manusia.

Puncanya ialah kebanyakan makanan yang dimakan mempunyai sifat semula jadi yang ber asid. Selain itu, makanan akan menjadi toksik sebagai akibat cara makanan itu diproses dan ditambah pula dengan bahan-bahan tambahan untuk menjadikan makanan itu enak. Di samping itu, cara pengendalian makanan yang tidak bersih dan pengendali makanan yang berpenyakit juga boleh menjadikan makanan bertoksin. Faktor lain yang menyebabkan keracunan berlaku ialah persekitaran yang kotor.

Masalah ini akan dapat diatasi sekiranya kita sentiasa memastikan makanan disimpan dengan baik dan amalan membasuh tangan dipraktikkan. Selain itu, jenis makanan yang diambil juga perlu diberi perhatian agar tidak berlaku keracunan.

Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama untuk menangani kandunghan toksin di dalam badan supaya tahap kesihatan kita tidak terancam.

4 comments:

  1. Banyak informasi. . . terima kasih :)

    ReplyDelete
  2. wahh, cikgu!! tq soo much! sangat membantu. hope sy boleh tingkatkan bahasa melayu saya lg. :D

    ReplyDelete
  3. sangat membantu.. terima kasih...

    ReplyDelete
  4. Terima kasih atas maklumatnya . Pray for me . Bm for tomorrow :)

    ReplyDelete